• About
  • Contact
  • Sitemap
  • Privacy Policy
, Masa Sekarang:
SEKOLAH TRANSFORMASI

SEJARAH SEKOLAH

SEKOLAH MENENGAH ARSHAD, KOTA BELUD, merupakan sebuah daripada lima buah sekolah menengah yang terawal didirikan di Negeri Sabah. Orang yang bertanggungjawab mengusahakan pembinaan sebuah sekolah menengah di Kota Belud ialah Tan Sri Mohd. Said bin Keruak. Ketika itu beliau bertugas sebagai Yang Di Pertua Majlis Daerah Kota Belud. Bangunan Sekolah Menengah Arshad yang pertama dibina pada awal tahun 1957 di sebuah kawasan yang luasnya kira-kira 1 hekter berhampiran dengan bangunan Pejabat Pantai Barat Utara sekarang. Bagaimanapun pengambilan pertama pelajar-pelajarnya adalah pada tahun 1958.

        Junior Secondary School, Kota Belud. Walau bagaimanapun murid-murid yang menuntut di sekolah ini kebanyakannya sudah mencapai umur  antara 15-17 tahun. Akan tetapi darjah tertinggi yang terdapat cuma setakat Primary 6.  Ini tidaklah menghairankan seseorang murid itu menjadi guru di sekolah-sekolah rendah di Negeri Sabah.

        Pada peringkat awal Government Junior Secondary School ditubuhkan. Muridnya adalah seramai 120 orang yang dibahagikan kepada 4 buah bilik darjah. Di antaranya pelopor-pelopor awal yang menjadi penuntut ialah Encik Joi Bin Sogoi dan Encik Asah Bin Madily.

        Pengetua pertama di Government Juniors Secondary School ialah Encik SuhaibunYusuf. Beliau adalah anak jati Negeri Sabah yang berasal dari Papar. Tidak lama beliau memegang jawatan ini kerana tidak sampai setahun pun beliau telah digantikan oleh Encik Ramdas seorang guru kontrek dari India. Oleh kerana di Negeri Sabah ketika itu kekurangan tenaga pengajar selama beberapa tahun jawatan Pengetua di sekolah ini dipegang oleh guru-guru kontrek. Di peringkat awal, salain dari Encik Suhaibun sendiri sebagai tenaga pengajar, guru-guru yang mengajar di sekolah ini adalah terdiri daripada guru-guru kontrek. Misalnya Encik Ramdas, Encik Mark Hoe Ming dan Puan Duari.

        Kemudian apabila sistem pendidikan dikemaskinikan, pengambilan pelajar-pelajar mula disusun kembali. Memandangkan betapa perlunya sebuah sekolah menengah yang lengkap di Kota Belud ini, di samping dengan terbinanya dua buah sekolah rendah iaitu SRK Pekan dan SRK Tempasuk, maka dibuat rancangan untuk menjadikan Government Junior Secondary School sebagai sekolah menengah penuh. Bagaimanapun Government Junior Secondary School cuma menawarkan kelas dari Tingkatan Satu hingga Tiga.

        Tahun 1962, buat pertama kalinya peperiksaan Sabah Junior Certificate diadakan di sekolah ini. Yang lulus peperiksaan ini dibenarkan menyambung pelajarannya dalam tingkatan 4 sama ada di Kota Kinabalu atau di Sandakan. Beberapa orang guru yang ketika itu menjadi tenaga pengajar di sekolah ini adalah seperti Encik Mohd, Encik Mokhtar Senik dan lain-lain. Di samping itu terdapat juga guru-guru dari kalangan orang Inggeris iaitu Encik David Sapton, Encik Steve dan Encik Wayn. Mereka ini adalah merupakan guru-guru pinjaman dari Singapura dan Semenanjung Tanah Melayu.

        Dengan jumlah murid yang semakin bertambah pada tiap-tiap tahun maka Government Junior Secondary School turut mengalami perubahan. Pada pertengahan tahun 1960'an bangunan sekolah ini ditambah hingga merangkumi bangunan Pejabat Pantai Barat Utara sekarang ini dan sejak tahun 1966, peperiksaan Senior Combgidge (aliran sastera) mula diadakan di sekolah ini.

        Rancangan juga dibuat untuk membina sebuah bangunan lain bagi sekolah ini. Selepas projek raksasanya yang awal siap maka pada tahun 1968 sekolah ini mula menduduki bangunan barunya iaitu di tapaknya sekarang. Akan tetapi di peringkat awal pembinaan sekolah ini belum begitu lengkap. Oleh itu sekolah ini terpaksa menumpangkan sebahagian dari pelajar-pelajarnya di Sekolah Rendah Chung Hwa dan sebuah bangunan gudang padi iaitu tempat di mana bangunan SEDCO didirikan sekarang ini di Kota Belud. Tahun 1973 barulah kaseluruhannya dari murid-muridnya dapat belajar di sekolah ini.

        Tahun 1970, bersesuaian dengan Dasar Pelajaran Kebangsaan yang dilaksanakan maka sekolah ini mula membuka kelas-kelas aliran Melayu bagi tingkatan satu. Sejak itu sekolah ini mempunyai dua aliran iaitu iaitu aliran Inggeris dan Melayu. Bagi memperlihatkan ciri-ciri kemelayuannya nama sekolah ini ditukar menjadi Sekolah Menengah Kerajaan Kota Belud.

        Tahun 1971 buat pertama kalinya semakin ramai guru-guru dari Semenanjung Malaysia yang didatangkan. Di antara pelopor-pelopor awalnya ialah Encik Abdullah Nawawi Haji Ahmad, Encik Bakar Jaafar dan Encik Jaafar Osman. Meraka berkhidmat secara kontrek setelah sebelumnya mendapat latihan dari Maktab-Maktab Perguruan di Semenanjung.

        Tahun 1974 kumpulan pertama pelajar-pelajar tingkatan 5 telah menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (aliran sastera). Pada tahun yang sama juga satu perubahan lagi berlaku kerana setelah kira-kira 15 tahun jawatan Pengetua dikuasai oleh guru-guru kontrek dari luar, maka Encik Teo Tien Hwa rakyat negeri Sabah sendiri telah mengambil-alih pucuk pimpinan sekolah ini. Bagaimanapun khidmat bakti Encik Teo tidak lama. Tidak sampai setahun pun, jawatan pengetua di sandang pula oleh Encik Bolkas Hasbollah. Semasa Encik Bolkas Hasbollah nama Sekolah Menengah Kerajaan Kota Belud telah ditukar menjadi Sekolah Menengah Arshad. Nama "Arshad" itu diberikan kepada sekolah ini sebagai memperingati nama OKK Haji Arshad iaitu salah seorang dari orang kenamaan yang berpengaruh di Kota Belud ini ketika British memerintah dahulu. Encik Bolkas sendiri adalah cucu kepada OKK Arshad itu.

        Bermula dari tahun 1975, Sekolah Menengah Kebangsaan Arshad telah berkembang begitu pesat sekali iaitu sama ada dari jumlah murid atau bilangan guru-gurunya. Buat pertama kalinya, sekolah ini mendapat khidmat dua orang guru dari Indonesia. Meraka ialah Bapak Gatot Supadmo dan Bapak Kastoeri. Bapak Mas Gatot berkhidmat di antara tahun 1975-1978 sementara Bapak Kastoeri sekitar tahun 1978-1980. Kedua-duanya adalah guru Sains. Jasa Bapak Kastoeri yang paling diingati ialah beliau telah mencipta lagu sekolah ini pada tahun 1979. Hari ini Sekolah Menengah Kebangsaan Arshad adalah di antara segelintir daripada sekolah-sekolah menengah di Negeri Sabah yang mempunyai lagu sekolahnya sendiri.

        Selain itu, sekolah ini juga mempunyai 4 orang pengajar sukarelawan dari Amerika Syarikat di sekitar tahun-tahun 1975-1980. Mereka adalah terdiri daripada Encik David Londerdale, Encik Mark Rojec, Cik Elizabeth dan Cik Eva. Mereka ditugaskan mengajar matapelajaran Sains di tingkatan 4 dan 5 aliran Inggeris.

        Tahun 1978 pula, Encik Bolkas telah melanjutkan pelajaranya ke luar negeri. Jawatan Pengetua sekolah ini disandang pula oleh Encik Jikal Gabie. Seperti Encik Bolkas, Encik Jikal juga adalah anak jati Kota Belud.Beliau juga berazam untuk melihat pencapaian yang lebih tinggi di sekolah ini dalam semua bidang.

        Sewaktu Encik Jikal menjadi Pengetua, sekolah ini telah mencapai perkembangan yang lebih pesat sekali. Dengan usaha beliau, buat pertama kalinya tenaga-tenega pengajar berkelulusan ijazah dari Semenanjung Malaysia telah dapat didatangkan. Mereka yang terawal dari kumpulan ini ialah Encik Che Iberahim Bin Che Sulaiman dan Encik Samad Lebai Itam yang mula berkhidmat di sekolah ini pada Julai 1978.

        Tahun 1979 pula, dari usaha keras Encik Chanderasegaran, Persatuan Bimbingan dan Kerjaya telah ditubuhkan dengan tujuan untuk membimbing para pelajar mengenai peluang-peluang melanjutkan pelajaran dan kerjaya di masa depan. Apabila Encik Chenderasegaran melanjutkan pelajaran untuk mendapatkan Ijazah Sarjana Pendidikan (M.ED) di Universiti Malaya pada Julai 1980, tugas membimbing persatuan ini diambil-alih olejh Encik Pan Seow Phin.

        Tahun 1979 juga sekolah ini telah mengadakan sebuah kelas tingkatan 4 Sains aliran Melayu, manakala bagi aliran Inggeris pula, tahun tersebut merupakan tahun terakhir Peperiksaan MCE diadakan. Sejak tahun 1980 sekolah ini menjadikan sekolah aliran Melayu seratus peratus.

        Tahun 1982 memperlihat dua perkembangan baru di sekolah ini, yang pertama ialah pertukaran secara mengejut Encik Jikal Gabie ke Maktab Kent Tuaran dan kedatangan Pengetua yang baru iaitu Encik Abdul Ghani Bin Mandar yang mula bertugas di sekolah ini pada 1hb. Mei, 1982 lalu. Perkembangan kedua ialah dengan tertubuhnya sebuah kelas tingkatan 6 aliran sastera buat pertama kalinya di Daerah Kota Belud ini. Hari ini mempunyai 95 orang guru dan sejumlah 2 491 orang pelajar.

        Pada tahun hadapan, iaitu apabila projek bangunan sekolah dan rumah guru yang dimulakan sejak tahun 1980 dahulu siap dibina, maka Sekolah Menengah Arshad akan tambah berkembang lagi. Masalah perumahan yang dihadapi oleh guru-guru juga akan dapat dibereskan. Adalah menjadi harapan semua pihak terutama guru-guru dan pelajar-pelajar bahawa perkembangan sekolah ini dari hari akan sejajar dengan pencapaian peratusan kelulusan pelajar-pelajarnya.

        Pada hari pertama penggal persekolahan tahun 1983, dengan rasminya Pejabat Pengetua, Pejabat Am dan Bilik Guru berpindah ke bangunan baru. Tidak syak lagi bilik guru yang baru ini adalah lebih selesa kerana isinya lebih besar dan masalah ketidak cukupan kerusi meja yang dihadapi oleh guru-guru ini dapat diselesaikan.

        Bagaimanapun bangunan-bangunan baru untuk kelas-kelas kecuali bilik tingkatan 6, bilik Geografi dan bilik Perpustakaan yang baru, kesemuanya termasuk rumah pangsa untuk guru-guru melum dapat digunakan. Menurut tuan Pengetua, menjelang penggal kedua persekolahan nanti semua bangunan itu akan dapat digunakan.

        Satu lagi perkembangan yang menarik di awal persekolahan penggal pertama tahun 1983 ialah pemilihan untuk jawatan Ketua Pelajar. Untuk menghasilkan pelajar-pelajar yang dinamis buat pertama kalinya pelajar-pelajar diberikan peluang untuk memilih calon-calon Ketua Pelajar melalui Pilihanraya. Dalam pemilihan itu Awang Rablah Salil telah menang jawatan Ketua Palajar Lelaki dan Wong Chui Phin sebagai Ketua Pelajar Perempuan. 

J-Theme